Saturday, 20 September 2008

Memelihara hubungan etnik, agama

JAWAPAN: Saya berterima kasih atas ziarah anda dan rakan-rakan ke rumah saya untuk bertanyakan mengenai perkara ini baru-baru ini. Walaupun saya sudah menjawabnya secara lisan, saya ulangi pula dalam tulisan ini supaya dapat dimanfaatkan oleh para pembaca Mingguan Malaysia.
Agama tidak sama sekali menghalang hubungan baik di antara etnik dan agama. Malah Islam mengiktiraf akan kepelbagaian dalam beragama, kepelbagaian bangsa, warna kulit dan bahasa malah adat resam yang berbeza.
"Kami ciptakan kamu lelaki dan perempuan, dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berkabilah untuk berkenal-kenalan di antara satu sama lain" (Surah al-Hujurat).
Hanya dari segi iman dan ibadat, Islam mengatakan "Bagi kamu agama kamu dan bagi-Ku agama-Ku". Maknanya tiada kompromi untuk campur ibadat atau berkongsi keimanan. Ada agama seperti Islam berpegang kepada tauhid (Tuhan Esa), ada mereka yang percaya dua tuhan dan tiga tuhan, malah ada agama yang banyak tuhan. Tetapi kesemua agama menolak mereka yang tidak bertuhan.
Adapun bagi kehidupan yang harmonis, Islam memberi kebebasan sesiapa memilih agama mereka. "Tidak ada paksaan dalam agama". Bukan kerana mengiktiraf semua agama, tetapi kerana yang benar itu sudah nyata, yang palsu pun nyata, apabila manusia menekuni benar-benar agama yang mereka anuti.
Sebahagian agama daripada wahyu seperti Islam, Kristian juga dan Yahudi di wahyukan tetapi pendita mereka yang sudah menyelewengkannya. Namun Islam mengiktiraf agama masing-masing dan mengajar umat Islam agar hidup berbaik-baik dan berbaik sangka.
Islam berakar kata daripada "salam" ertinya sejahtera dan damai. Damai dalam diri kerana Tuhan hanya satu. Satu memberi arah petunjuk dan fokus yang satu dalam hidup; mencapai keredaan-Nya jua. Apa pun yang dilakukan dari bangun pagi sampai tidur semula malam hari, tiada tujuan lain hanya mencari keredaan Allah. Justeru itu, bekerja dengan kerja yang baik, bercakap dan menulis perkara baik-baik, jadi orang politik yang baik, wartawan yang baik, rakyat dan raja yang baik. Baik dapat syurga dan jahat dapat neraka dan azab sangsara.
Justeru itu dalam hubungan dengan bangsa dan agama lain juga, Islam mengajar kerahmatan dan keharmonian. Perdamaian menjadi asas dan perbalahan serta peperangan hanya berlaku kerana adanya pencerobohan terhadap maruah umat Islam; harta mereka, tanah air mereka malah harta benda mereka.
Islam membenci mereka yang menjajah dan menzalimi pihak lain. Oleh sebab itu apabila umat Islam dijajah mereka bangkit mencari kebebasan dan mempertahankan kemerdekaan mereka. Sejarah perang Salib menyaksikan umat Islam tidak berhenti berperang kerana kekejaman musuh.
Di Malaysia, selepas kemerdekaan 1957 kita diajak dan diseru agar berbaik- baik dan berdamai. Umat Islam dengan rela hati memberi kerakyatan kepada kaum pendatang pada masa itu atas nama "membangunkan negara".
Kedamaian
Jika kita mahu meneruskan kedamaian ini, maka seharusnya kita berbaik sangka dan benar-benar menjaga perpaduan bukan dengan kata-kata tetapi amalan. Saya dahulu pun banyak prejudis kepada orang bukan Islam, kerana ada tindak tanduk mereka yang agak mencurigakan. Tetapi pengalaman berjiran dengan mereka di bandar, saya merasakan tidak semua mereka yang berlainan bangsa dan agama itu semuanya ada agenda sendiri.
Dua buah rumah di kanan rumah saya sebagai contoh jiran yang baik. Begitu juga di kiri rumah saya, rumah jiran Cina yang baik. Setelah dua puluh tahun bersama tidak ada perbalahan antara kami. Semua selesa dengan keadaan masing-masing. Begitu juga dalam kelompok politik, organisasi dan seumpamanya. Jika dibukti dengan perbuatan mahu pun polisi yang tidak berniat jahat akan melahirkan masyarakat yang harmonis.
Pada pendapat saya, yang menjadi masalah kelam kabut adalah kerana ahli-ahli politik ekstrem yang cuba mengaut keuntungan atau menangguk di air keruh sehingga menimbulkan kecurigaan antara satu sama lain. Justeru itu, penghormatan masyarakat kepada orang politik pada masa ini sudah semakin terhakis oleh kerana sikap mereka yang suka mengadu-domba antara berbagai-bagai pihak, atau bermain politik sempit, atau menjadi pemimpin yang berfikiran sempit dan tidak berlapang dada.
Sekali lagi saya menegaskan di sini, tidak ada ajaran mana-mana agama yang menyokong keganasan, kezaliman dan penindasan. Hanya mereka yang ada agenda politik seperti Zionisme yang ingin menakluk dunia menyebabkan dunia jadi huru-hara. Justeru ada Kristian melampau di Amerika yang menyebabkan Iraq dizalimi dan ada golongan radikal Islam yang menimbulkan keganasan kerana tidak tahan melihat umat Islam diperkosa di sana sini.
Insya-Allah sempena bulan baik Ramadan al-Mubarak ini,semua pihak mengambil jalan selamat untuk menyelamatkan umat, bangsa dan negara daripada tercetus perbalahan dan percakaran. Kembalilah kepada akal budi yang tinggi dan serahkan kepada Allah menentukan segalanya. Kita hanya berikhtiar. Hanya Allah jua yang menentukan selepas kita berikhtiar. Wallahualam.

Utusan Malaysia 21 September 2008 / 21 Ramadan 1429

No comments: