Sunday, 21 September 2008

Fahami asas hubungan kaum

Oleh ANUAR AHMAD

SEPANJANG minggu lepas seluruh negara heboh dengan cadangan Akta Hubungan Kaum yang diutarakan oleh pihak kerajaan. Sejurus selepas itu, ada pihak yang mempertikaikannya tetapi lebih ramai yang menerima cadangan tersebut dengan hati yang terbuka.
Oleh kerana proses cadangan ini baru di peringkat awal, ada baiknya seluruh rakyat diberikan peluang untuk memberikan pandangan serta respons secukupnya untuk pertimbangan pihak kerajaan.
Bagaimanapun, pengenalan akta ini menunjukkan bahawa usaha yang dilakukan selama ini bagi meningkatkan hubungan kaum jelas tidak begitu berjaya seperti yang diharapkan. Maka demi mengawal keadaan supaya menjadi lebih terkawal, maka cadangan akta ini diperkenalkan.
Senario hubungan kaum di Malaysia akhir-akhir ini memerlukan lebih banyak kajian secara mendalam dilakukan untuk memahami isu sebenarnya. Buat masa ini, penulis sedang menjalankan kajian berkaitan hubungan kaum di peringkat doktor falsafah di salah sebuah universiti tempatan. Sepanjang dua tahun lalu, penulis berpeluang meneliti secara mendalam banyak laporan penyelidikan serta pandangan para ahli akademik dan penyelidik berkaitan hubungan kaum di luar dan dalam negara.
Berbagai teori sempat penulis teliti dan fahami untuk digunakan dan disesuaikan dengan senario hubungan kaum di Malaysia. Walaupun masih dalam pengkajian, ada beberapa perkara menarik yang penulis ingin kongsi dengan para pembaca khususnya berkaitan perkara-perkara asas-asas yang perlu diterima dalam membina hubungan etnik di Malaysia.
Terdapat dua perkara utama yang perlu diteliti dan terbukti menjadi asas kepada pembinaan hubungan kaum di Malaysia. Pertama, selama 60 tahun lalu sejak Persekutuan Tanah Melayu diperkenalkan pada 1948, hubungan kaum di Malaysia diuruskan sepenuhnya melalui pengalaman politik. Semua usaha berkaitan hubungan kaum ditentukan oleh para pemimpin politik secara perundingan atau pengagihan kuota dan kuasa. Selama itu juga ahli politik khususnya melalui Parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional diamanahkan dan dipertanggungjawabkan oleh rakyat untuk memastikan perpaduan kaum berada di dalam keadaan yang terkawal dan muhibah.
Malah rakyat juga sudah percaya bahawa kejayaan perhubungan kaum di Malaysia tidak dapat tidak mesti diuruskan melalui kuasa politik dan perlu terus kekal begitu sampai bila-bila pun. Bagaimanapun, peristiwa Pilihan Raya Umum Ke-12 telah banyak mengubah persepsi ini. Hubungan kaum nampaknya terganggu akibat tsunami politik yang melanda Barisan Nasional.
Kontroversi
Malah pergolakan serta kontroversi politik yang berlaku sejak akhir-akhir ini sebenarnya membuktikan politik semata-mata tidak mampu menguruskan hubungan kaum dan perlunya paradigma lain seperti penglibatan segmen sosial dan mungkin agama untuk membantu menguruskan hubungan kaum pada masa depan. Malah di dalam beberapa hal.
Apa yang baru berlaku menyebabkan hubungan kaum menjadi semakin tegang adalah berpunca daripada provokasi yang ditimbulkan oleh kalangan ahli politik sendiri yang cuba menjadi pejuang kepada kumpulan etnik masing-masing.
Kedua, sektor pendidikan yang dipertanggungjawab mengurus perpaduan kaum juga nampaknya belum lagi berhasil membina generasi yang menjulang kepentingan hubungan kaum sebagai keutamaan melebihi kepentingan kumpulan etnik masing-masing. Walaupun pendidikan negara boleh diacuankan untuk menjayakan perpaduan kaum seperti yang telah berjaya dilakukan di beberapa buah negara maju dan Scandinavia, acuan pendidikan kebangsaan untuk perpaduan kaum di negara ini jelas tidak begitu berhasil sepenuhnya.
Selain pendidikan sistem vernakular yang terus menerus mengukuhkan persempadanan identiti kumpulan etnik, kurikulum kebangsaan juga gagal mengukuhkan konsep Bangsa Malaysia yang sepatutnya dijayakan sepenuhnya 12 tahun lagi apabila Wawasan 20202 tamat sepenuhnya. Pelancaran Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) oleh pihak kementerian Pelajaran serta program RIMUP juga belum menampakkan bahawa perhubungan kaum dapat dijayakan sepenuhnya. Sebagai contoh, pertikaian berkaitan sejarah kontrak sosial yang dianggap sebagai asas perhubungan kaum tidak begitu dihayati oleh para generasi baru. Berbagai tekanan dan tuntutan dikemukakan untuk mengkaji semula kontrak sosial. Rakyat umum mula berminat dengan desakan ini turut memberikan sokongan mereka tanpa maklumat yang lengkap dan jelas.
Akibatnya mereka mudah terikut serta terperangkap dengan laungan-laungan keras oleh para pimpinan politik yang yang menuntut kontrak sosial ini dimansuhkan. Kontrak sosial yang secara jelas telah terkandung di dalam perlembagaan negara khususnya berkaitan kedaulatan Bahasa Melayu, keistimewaan orang Melayu, kedudukan agama Islam, kedudukan Raja-raja Melayu serta pemberian Hak Kerakyatan telah dipersetujui bersama dan menjamin keadilan untuk semua tanpa mengira kaum dan agama.
Di dalam bilik darjah pula, peranan matapelajaran sejarah juga tidak begitu berjaya dan harus disemak semula. Penekanan seharusnya diberikan kepada soal perhubungan kaum lebih dari semata-mata memberikan maklumat sejarah kepada para pelajar. Tidak ada gunanya ilmu sejarah bertimbun timbun dihafal tetapi para pelajar tidak mempunyai kemahiran untuk menganalisis maklumat serta mendapat kesedaran berkaitan budaya dan sejarah kumpulan etnik lain.
Pemerhatian dan penelitian yang sempat dilakukan oleh penulis menunjukkan kaedah yang paling berkesan untuk meningkatkan hubungan kaum mestilah dilakukan melalui pendekatan mikro yang selama ini dipinggirkan. Sebagai contoh, kegagalan sekolah wawasan bukanlah sepenuhnya kerana tiada usaha oleh pihak kementerian Pelajaran tetapi penelitian yang dilakukan di sekolah menunjukkan bahawa para pelajar sebenarnya secara individu belum bersedia untuk berinteraksi dengan kumpulan etnik berbeza walaupun berasa di dalam ruang yang sama.
Program-program yang dirancangkan oleh pihak sekolah walaupun dilakukan secara menyeluruh tetapi pelajar masih berasa selesa untuk menjalankan aktiviti dan memilih untuk hanya berada di dalam kumpulan etnik masing-masing. Oleh itu, pendekatan ke arah meningkat komunikasi serta interaksi sosial secara mikro di kalangan pelajar mestilah dilakukan secara semulajadi dan bukannya dibuat-buat yang biasanya tidak mendapat perhatian para pelajar.
Pengenalan kepada akta hubungan kaum boleh dilaksanakan dengan syarat semua kaum bersetuju dan terdapat tiga perkara yang menjadi asas kepada pembinaan hubungan kaum di Malaysia.
Pertama, semua pihak bersedia menerima kontrak sosial sebagai mana yang telah dipersetujui oleh para pimpinan terdahulu terutamanya di awal kemerdekaan. Kedua, sistem pendidikan harus membuka jalan ke arah meningkatkan lagi maklumat berkaitan sejarah dan budaya semua etnik supaya setiap pelajar akan memahami serta mempunyai maklumat tentang kaum lain secara menyeluruh dan ketiga perlunya satu mekanisme yang dapat mendidik dan membentuk rakyat supaya membenci mana-mana kumpulan sama ada ahli politik, NGO atau orang perseorangan yang menggunakan provokasi kaum untuk mendapat sokongan serta meningkatkan populariti.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA 22 September 2008 / 22 Ramadan 1429

No comments: